Saturday, May 26, 2012

:: Jalan Singkat Menuju Syurga-NYA ::


“Tempuhilah jalan singkat ini wahai wanita dan jangan menoleh kepada jalan lain, sesungguhnya Allah meringankanmu dan janganlah engkau memberatkan diri sendiri, Allah memberi jalan singkat maka janganlah mencari jalan yang jauh dan berliku. Fahamilah…!!!”

Alhamdulillah syukur pada Allah s.w.t yang telah mengurniakan segala nikmat buat hamba-hambanya.

BAROKALLAH HULAKUMA WABAROKA ‘ALAIKUMA WAJAMA’A BAINAKUMA BILKHAIR 

Buat sahabat-sahabat yang selamat yang telah selamat diakad nikahkan semalam, dan juga buat sahabat-sahabat yang bakal mendirikan rumah tangga serta sahabat-sahabat yang bakal bergelar isteri… MABRUK buat kalian.

Melihat kepada kalian, teringat saya akan satu buku yang menjadi tajuk pada penulisan saya pada hari ini yang ditulis oleh ABU MUHAMMAD AS SAYYID SYEIKH ROHIMUDDIN BIN NAWAWI ‘AZAMATKHAN AL-HUSAINI AL-BANTENI iaitu siri nasihat RASULULLAH S.A.W kepada wanita.

Sabda RASULULLAH S.A.W :

Dari Abu Hurairah R.A berkata: Rasulullah S.A. W bersabda “ jika seorang wanita telah solat lima waktu, puasa dibulan ramadhan, memelihara kemaluannya, dan mentaati suaminya maka ia akan memasuki syurga dari pintu mana sahaja.” HR Ahmad r.a & Thabarani r.a

Pesanan agung dari hadis Rasulullah s.a.w telah membatasi peranan, beban agama dan faktor-faktor yang membawanya kepada redha Allah yang disimbolkan dalam bentuk syurgaNya. Beban dan faktor itu ada 4 iaitu :

1.      Solat 5 waktu.
2.      Puasa dibulan ramadhan.
3.      Menjaga kebersihan dan kehormatannya.
4.      Mentaati suaminya selama bukan dalam maksiat kepada Allah S.W.T.

Perkara yang akan dibincangkan adalah faktor ke-3 dan ke-4.

MENJAGA KEBERSIHAN DAN KEHORMATANNYA

Faktor ketiga yang menghantar wanita ke syurga adalah menjaga kesucian dan kehormatannya dengan menjauhi segala hal yang boleh membawa kepada hilangnya penjagaan tersebut.

Seorang muslimah yang bertakwa, dia akan selalu mengetahui kadar kecintaan ALLAH S.W.T kepadanya dan pengakuan semua orang akan keutamaannya tergantung sejauh mana dia menjaga kehormatannya dan orang yang cepat mengakui keutamaanya adalah suaminya.

Wanita yang rendah dan tidak menjaga kesuciannya, ia senang keluar rumah dengan membuka auratnya, menampakkan keindahan tubuhnya yang menimbulkan fitnah dan mendorong orang untuk memandang kecantikannya.

IMAM QURTHUBI R.A berkata  : “penyebab sedikitnya kaum wanita masuk syurga adalah melebihkan hawa nafsu terhadap iman, emosi terhadap akal, kecondongan mereka yang berlebih kepada kesenangan-kesenangan dunia dan berpaling dari akhirat, sehingga membuat mereka mudah tertipu dan terpedaya serta menyebabkan mereka lemah untuk beramal.”

Wanita yang seperti ini, apa yang akan dikatakan nanti terhadap RABBnya???

Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud :

“ Dan tiap-tiap manusia itu telah kami tetapkan amalperbuatannya ( sebagaimana tetapnya kalung ) pada lehernya. Dan kami keluarkan baginya pada hari kiamat sebuah kitab yang dijumpainya terbuka. Bacalah kitabmu. Cukuplah dirimu sendiri pada waktu itu sebagai penghisap terhadapmu.”  (Surah al-isra’ : 13-14)

Bagi wanita-wanita solehah…

Firman ALLAH S.W.T  yang bermaksud :

“ wanita-wanita solehah, iaitu yang taat ( kepada suami) lagi memelihara ( kehormatan diri mereka dan harta suami ) ketika suami pergi sebagaimana ALLAH S.W.T  telah memelihara (mereka)…” ( surah an-nisa’ :34 )

TAAT KEPADA SUAMI

Dari SAIDINA AL-HUSHEIN BIN MUHSHIN R.A bahawa telah dating makciknya kepada RASULULLAH S.A.W untuk satu keperluan, selepas selesai dari keperluannya, maka NABI S.A.W bertanya : “ apakah engkau mempunyai suami”, ia menjawab : “ya”. NABI bertanya : “ bagaimana engkau disisinya?” ia menjawab : “ tidaklah aku menyia-nyiakannya melainkan apa-apa yang aku tidak mampu”, NABI S.A.W bersabda : lihatlah dimana kedudukannm disisinya, dia itu hanyalah syurga dan nerakamu!!”. HR. AHMAD R.A

Wahai wanita muslimah, ketahuilah perkahwinan pada hakikatnya adalah sebuah kerja sama antara lelaki dan wanita demi membina generasi soleh yang menyembah ALLAH S.W.T , serta membangun dan memakmurkan kehidupan, maka dasar perkahwinan dalam islam adalah mawaddah (cinta), ulfah (kasih sayang) dan ithar ( mengutamakan orang lain).

Firman ALLAH S.W.T  yang bermaksud :

“ Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya diantaramu rasa kasih dan saying. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”. ( surah ar-rum : 21)

Dan, demi teguh dan kukuhnya perhubungan suami isteri, ALLAH S.W.T  menjadikan setiap lelaki dan wanita memiliki hak-hak antara satu sama lain.

ALLAH S.W.T  berfirman yang bermaksud : 

“ Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang makruf. Akan tetapi para suami mempunyai satu tingkat kekebihan daripad isterinya. Dan ALLAH S.W.T  Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. ( surah al-baqarah : 228)

IMAM ALI R.A berkata :  “ hak isteri atas suaminya iaitu menjaga, mencemburui, menggauli dengan baik dan membuatnya rasa dicintai dan  hak suami atas isteri iaitu tidak dikhianati dan tidak dicari-cari salahnya.

Salah satu hak suami yang menjadi kewajiban bagi isteri adalah mentaatinya, kerana suami adalah pimpinan keluarga. Kepimpinan ini salah satu hak yang ditetapkan dalam agama, maka wajib bagi isteri mendengar dan mentaati suami selama bukan maksiat kepada ALLAH dan RASULNYA.

NABI S.A.W menjelaskan kebesaran hak suami atas isterinya seperti sabdanya  yang bermaksud :

“ jika aku yang memerintah seseorang untuk bersujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku akan memerintah wanita  agar bersujud kepada suaminya”. HR AHMAD R.A

Maksud hadis ini adalah hak taat kepada suami itu wajib dan merupakan ibadah yang sangat besar bagi isteri, begitu besarnya jika ada penyembah kepada manusia maka suamilah yang paling utama disembah oleh isteri, namun di dalam agama islam penyembah hanya kepada ALLAH S.W.T , maka bagi isteri jalan pintas untuk ibadah atau menyembah kepada ALLAH S.W.T   yang teragung dan termulia hanyalah di dalam taat kepada suaminya.

RASULULLAH S.A.W bersabda yang bermaksud :

“ engkau tidak akan dapat memenuhi hak-hak ALLAH S.W.T (ibadah), sehingga engkau memenuhi hak-hak suamimu”.

Wanita terbaik adalah yang taat kepada suami dan menjalankan semua perintahnya. Seorang sahabat bertanya kepada RASULULLAH S.A.W , wanita manakah yang paling mulia ?

NABI S.A.W bersabda yang bermaksud :

“ Adalah wanita yang menyenangkannya (suami) ketika ia memandangnya, mentaatinya ketika ia memerintahkan, dan tidak menyalahinya di dalam diri sendiri serta harta (wanita) dengan hal-hal yang tidak disukainya”.

Sungguh mulia agama ini, dan sungguh agama ini memuliakan wanita, sehingga wanita itu benar mulia di dunia ini dan disisi ALLAH S.W.T,  maka hanya wanita-wanita yang mulia hatinyalah yang mendapatkan kemuliaan ini.

SUBHANALLAH WALHAMDULILLAH ALLAHHUAKBAR

“Ya ALLAH, Engakau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan melainkan Engkau yang menciptakanku, dan aku adalahhambaMU, dan aku berada diatas sumpah dan perjanjianMU menurut semampuku,aku berlindung kepadaMU dari keburukan perbuatanku (dosa), aku mengakui dengan nikmatMU atasku, dan aku mengakui akan dosaku. Maka, ampunilah aku, kerana  sesungguhnya tidak ada yang mengampuni dosa-dosa melainkan Engkau”.



No comments:

Post a Comment